Saturday, January 18, 2014

Ceramah Maulidur Rasul 1 (17/01/2014)

Ceramah Maulidur Rasul 1: Cinta Rasulullah s.a.w.
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Subri Arshad
Lokasi: Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Selangor

Surah yang dikupaskan
Assalamualaikum w.b.t.
Pengalaman pada malam pengajian ceramah Maulidur Rasul 1 oleh Ustaz Subri memberi kesan yang besar terhadap jemaah yang pergi terutama sekali diri ini. berbekalkan 2 potong ayat dari Surah Al-Ahzab (Ayat 56-57), diri ini beserta jemaah lain dilanda sebak yang teramat sangat kerana Allah di dalam ayat-Nya sendiri menegaskan bahawa Dia serta sekalian malaikat-malaikat-Nya berselawat dan memberi salam ke atas jungjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. sehinggakan Allah patrikan cinta-Nya kepada Nabi di dalam ayat tersebut. 

Ditambah dengan penceritaan sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Bilal Bin Rabah r.a. yang mana setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Bilal membawa diri jauh sehinggakan sekalian penduduk Madinah tidak lagi mendengar laungan azan dari beliau. Namun, Rasulullah s.a.w. datang ke dalam mimpi Bilal menyatakan baginda rindu akan Bilal dan tidakkah Bilal turut merindui baginda. Beberapa ketika Bilal bergegas ke Madinah untuk melawat pusara Nabi Allah Muhammad s.a.w. yang mana beliau meratap dengan linangan air mata penuh syahdu menunjukkan rasa cintanya kepada Rasulullah.

Ketika itu jualah 2 orang sahabat Rasulullah datang memujuk Bilal untuk melaungkan azan (kerana sudah masuk waktu) Bilal menolak permintaan mereka. Walaubagaimanapun, apabila cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. menyatakan hasrat mereka untuk mendengan Bilal melaungkan azan, Bilal tidak dapat menolaknya atas sebab permintaan tersebut datang sendiri daripada cucu Rasulullah. Bilal mula melaungkan azan:

"Allahuakhbar, Allahuakhbar X 2,
Ashaduallah ilahaillallah X 2,
Ashaduanna muhammadar rasullullah X 2"

Setibanya lafaz azan tersebut, Bilal rebah ke bumi kerana merasa tidak bermaya apabila mengenangkan kekasihnya baginda Rasulullah s.a.w. sehinggakan azan tersebut tidak dapat diteruskan lagi.


===============


Menurut riwayat lain di mana sewaktu Bilal r.a. ingin menghembuskan lafaznya yang terakhir, anak perempuan beliau menangis dan berkata perasaan sedihnya kerana bakal kehilangan ayahanda kesayangannya. Jawab Bilal,'Wahai anakku, aku sedang berasa gembira kerana seketika nanti aku akan bertemu cinta hatiku Rasulullah s.a.w.

Ihsan; Masjid Al-Azim FB page
Dari cebisan cerita ini, diri ini dan jemaah lain berasa sangat sebak kerana cintanya para sahabat Rasulullah, Allah serta para malaikat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Apabila Ustaz Subri bertanyakan kepada para jemaah yang hadir, "Di antara kalian semua yang hadir, siapakah yang berselawat dan salam ke atas Rasulullah? Berapa kalikah kita melakukannya dalam masa sehari? seminggu? setahun?". Tersentap jiwa diri ini mendengar pertanyaan tersebut. Kerdilnya aku di bumi Allah ini. Pesan Ustaz Subri "Rasulullah pernah bersabda, barang sesiapa yang berselawat dan salam ke atasku, mereka ini akan aku berikan syafaatku di akhirat kelak". 





Alhamdulillah, satu lagi pelajaran baru untuk aku amalkan selepas ini.

Wallahua'lam
Pencerapan oleh: AkuYangTua

1 comment: